ALOR SETAR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu menunggu laporan terperinci sebelum mengeluarkan sebarang pendirian rasmi berhubung kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sebarang komen atau tindakan hanya akan dibuat selepas kementerian menerima maklumat lengkap berkaitan isu tersebut.
“Saya perlu menunggu dahulu laporan yang terperinci sebelum mengeluarkan apa-apa pendirian daripada KBS. Kita menunggu dan melihat bagaimana perkembangan selanjutnya sebelum saya boleh memberikan komen yang lebih lanjut,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kota Setar di sini hari ini.
Kata beliau, kementerian sentiasa memantau setiap isu berbangkit melibatkan persatuan-persatuan sukan di negara ini dan bukan hanya tertumpu kepada FAM semata-mata.
Menurutnya, kementerian tidak akan mencampuri mana-mana proses yang berada di luar bidang kuasa selaras dengan prinsip pemisahan kuasa yang perlu dihormati.
“Pemisahan kuasa ini amat penting. Sebab itu saya perlu melihat, menunggu laporan dan keputusan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut. Kita tidak akan mengganggu proses yang bukan dalam bidang kuasa kementerian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














