PETALING JAYA – Seorang wanita menerima pujian ramai selepas menggunakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebagai duit belanja sekolah anaknya.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Itsme3kaa_, memilih untuk menukarkan duit bantuan sebanyak RM150 kepada duit RM1 selepas menerimanya semalam.
“Dapat BAP kita terus tukar ke duit seringgit untuk belanja sekolah anak. Terima kasih Kerajaan Madani,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Thread, @Nurulkheira turut berkongsi menggunakan duit bantuan tersebut untuk Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan perbelanjaan anak-anaknya.
“Saya guna RM50 untuk bayar yuran KAFA. Baki RM100 tukar kepada duit RM1 untuk duit belanja sekolah. Untuk kakak pula, belikan buku rujukan,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai yang memuji tindakan tersebut sebagai seorang penjaga yang bijak menggunakan bantuan dengan baik.
“Terima kasih jadi ibu bapa yang baik. Sebab ramai sekeliling saya guna untuk kepentingan sendiri sampai anak-anak terabai,” komen @Suhayanisd.
“Alhamdulillah, suka tengok ibu bapa bersyukur dan gunakan BAP untuk anak-anak,” komen @Cikyusniper. –KOSMO! ONLINE














