PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen gembira melihat kebangkitan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, malah menyifatkan kehadiran jaguh itu mampu memberi nilai tambah kepada skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas, pada April tahun ini.
Jonassen mengakui secara peribadi gembira melihat Zii Jia kembali menemui rentak permainannya dalam tiga kejohanan, sambil menyifatkan pemain ranking ke-103 dunia itu memiliki aura ‘bintang’ yang mampu menyuntik semangat luar biasa kepada pasukan.
“Apa yang saya boleh katakan, sebagai seorang peminat adalah bagus melihat dia kembali. Dia adalah bintang dalam sukan ini. Dia bawa sesuatu yang ‘extra’. Saya rasa kita semua meremang bulu roma bila dia masuk stadium di Terbuka Malaysia dengan semua peminat tunjukkan rasa hormat pada apa yang dia capai.
“Jadi, sebagai peminat, saya sangat gembira lihat dia kembali. Adakah saya ikuti prestasi dan keputusannya? Sudah tentu. Saya juga mahukan pasukan yang kuat hujung tahun ini. Ada banyak perkara untuk dibincangkan tentang itu, tapi sebagai peminat, saya gembira dia kembali.
“Sebagai jurulatih, saya sedang memantau bagaimana dan sudah tentu, jika boleh, saya akan berbincang dengan dia dan pasukannya jika ada apa-apa yang kami boleh bantu. Tapi bila sampai masanya nanti kita akan cari penyelesaian juga untuk ini, saya pasti. Buat masa ini saya cuma gembira dia dah kembali,” katanya ketika ditemui di ABM semalam.
Mengulas mengenai pembentukan skuad Piala Thomas yang dijadualkan berlangsung April depan, Jonassen percaya kehadiran mana-mana pemain bertaraf dunia dalam pasukan adalah demi kepentingan negara.
Jelasnya, memiliki barisan pemain yang kuat akan memberi kelebihan taktikal kepada barisan kejurulatihan untuk merencanakan strategi terbaik.














