KOTA TINGGI – Polis giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Persada 17, Residensi Prima di sini, setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian tersebut tular di media sosial sejak semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Yusof Othman, Unit Media Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi mengesan satu hantaran video berkenaan pada pukul 8 malam.
“Polis mengambil maklum mengenai hantaran berkenaan dan siasatan mendapati satu laporan polis telah diterima pada Rabu lalu pada pukul 6.06 pagi.
“Laporan dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berkaitan kes pecah rumah dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,000. Polis mendapati, video tersebut memaparkan kejadian rompakan bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Yusof, susulan laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, dan jika melibatkan kesalahan mencuri, pesalah boleh dipenjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Asrul bin Ishak di talian 017-534 1109 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -KOSMO! ONLINE














