KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang RM752,481.90 serta satu pertuduhan pecah amanah RM3 juta.
Bagaimanapun Mohd. Nizam, 60, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM552,481.90 bagi dirinya sendiri.
Ia yang mana tertuduh melantik lima buah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja antaranya ‘Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’, ‘Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ dan ‘Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’.
Kedua-dua kesalahan dilakukan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kementah di sini pada 24 Jun 2024 dan didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.00 mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT melakukan pecah amanah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan dilakukan di lokasi sama pada 4 Oktober 2024 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.
Mengikut pertuduhan keempat, Mohd. Nizam sebagai PAT didakwa menerima untuk dirinya sendiri wang RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah yang mana tertuduh ketahui mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah pada Mac 2025 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM180,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini SPRM mengesahkan memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Mohd. Nizam susulan siasatan dalam ATM. – KOSMO! ONLINE














