KUALA LUMPUR – Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Semasa prosiding, mahkamah membenarkan Salwani duduk dalam kandang selepas peguam memaklumkan anak guamnya mempunyai bisul di bahagian paha.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Salwani didakwa sebagai pengawal sebuah syarikat menerima wang hasil daripada aktiviti haram masing-masing RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat itu berjumlah RM77,000.
Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights di sini antara 24 November 2024 dan 25 November 2025.
Pendakwaan dijalankan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan Salwani diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh 30 Mac ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














