KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2 juta antara 2024 hingga tahun lalu.
Bagaimanapun Muhammad Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Faham (pertuduhan), saya mohon dibicarakan,” kata tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya yang kesemua berjumlah RM2.12 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi berbeza antaranya di Jalan Melaka dan Bukit Damansara di sini antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.
Justeru pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih
tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO ONLINE














