fbpx
Sungai Gong di Rawang, Selangor antara anak sungai dalam proses pewartaan rizab bagi mengelakkan berlaku pencemaran sebelum ini.

Warta sungai elak cemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sebanyak 1,124 batang dan cabang sungai di Selangor akan diwartakan sebagai rizab sungai dalam usa­ha mengekang pencemaran sumber air yang mampu menyebabkan lebih 12 juta penduduk Lembah Klang terputus bekalan.

Pewartaan itu melibatkan kawasan di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Bernam, Sungai Buloh, Sungai Tengi, Sungai Sepang dan Su­ngai Klang.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan kepada Kosmo! berkata, proses pewartaan itu akan meliputi 50 meter di bahagian kiri dan kanan sungai mengikut Sek­syen 48 Enakmen LUAS 1999.

“Kesemua aktiviti sedia ada di zon perlindungan adalah tertakluk kepada sekatan seperti larangan terhadap sebarang pembinaan struktur.

“Sekatan itu turut melibatkan pelaksanaan sebarang aktiviti atau penyimpanan bahan kimia termasuk racun makhluk perosak, baja dan pembuangan bahan buangan,” katanya.

Sungai Bernam

Menurut LUAS, setakat Januari tahun ini, tiga batang sungai telah mempunyai pelan warta yang sempurna iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara.

Selain itu, katanya, 663 batang sungai telah siap pelan ukur demarkasi sebelum dikemukakan kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan baki 458 batang sungai lagi akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2023.

“Penubuhan zon perlin­du­ngan di bawah Seksyen 48(1) Enakmen LUAS 1999 adalah bertujuan menyelamatkan mana-mana sumber air, takungan dan kawasan pantai yang sensitif kepada alam sekitar.

“Justeru, semua kilang atau premis yang beroperasi di dalam rizab sungai terutama di tanah kerajaan akan dirobohkan,” ujarnya.

LUAS berkata, bagi kilang di tanah milik persendirian atau pajakan, pemilik perlu mendapatkan kebenaran bertulis aktiviti pengubahan sumber di bawah Seksyen 43 Enakmen LUAS 1999 untuk beroperasi dengan mematuhi syarat dan pemantauan yang ketat.

Langkah itu bertujuan me­ngawal pembangunan melibatkan kilang-kilang, pertanian dan perumahan yang diterima pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu, tindakan berdasarkan pewartaan tersebut berkuat kuasa bermula dari tarikh kuat kuasa Enakmen LUAS 1999 iaitu selepas 18 September 1999.

“Walaupun kilang dan premis yang dibina sebelum enakmen itu berkuat kuasa, agensi-agensi kerajaan ­seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” ujarnya.

KESAN buih sisa industri berasaskan bahan kimia di sebuah kilang di Shah Alam yang mengalir terus ke longkang.

Menurut LUAS, sebanyak enam kes telah diambil tindakan terhadap sungai-sungai yang diwartakan sebelum ini iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara.

Ini merangkumi tindakan notis, kompaun dan pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 79 dan Seksyen 43 Enakmen LUAS 1999 serta perundangan oleh jabatan-jabatan lain yang berkaitan seperti Seksyen 430

Kanun Keseksaan dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tahun lalu menyaksikan sembilan siri pencemaran sungai berlaku dan lapan kali pula gangguan bekalan air terjadi yang menjejaskan jutaan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN