SHAH ALAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menerima tiga aduan berkaitan sebuah taska yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk melibatkan isu penderaan di beberapa lokasi negeri ini.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, semua aduan berkenaan kini dalam siasatan pihaknya dan pegawai telah turun ke lokasi terlibat pagi ini bagi menjalankan pemeriksaan.
“Setakat ini, JKM menerima tiga aduan melibatkan cawangan taska berkenaan di Seksyen 3, Kota Kemuning dan Puchong Prima.
“Semua kes ini dalam siasatan JKM dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video baharu memaparkan kanak-kanak dengan jenama sama di cawangan Puchong diminta merangkak di dalam longkang bagi mengelak pemeriksaan JKM.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang didakwa mengurung seorang kanak-kanak autisme dalam bilik stor serta memaksa seorang bayi meminum susu dengan cara dikepit menggunakan kaki telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman kejadian itu didedahkan Caprice menerusi Instagram Munafik Hunter dan meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam, selain mencetuskan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengasuh dan pengurusan taska terbabit.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut dilaporkan mengesahkan menerima laporan daripada Timbalan Ketua Pengarah Mara selepas dimaklumkan pempengaruh terkenal, Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli.
“Buat masa ini terdapat dua premis di bawah pembiayaan Mara iaitu di Klang dan Bestari Jaya. Namun, kejadian yang didakwa berlaku di Kota Kemuning tidak melibatkan operator di bawah pembiayaan Mara,” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan siasatan tetap akan dijalankan secara menyeluruh kerana tidak mahu Mara terus membiayai atau berkolaborasi dengan mana-mana institusi yang mempunyai rekod gagal menjaga kualiti pendidikan dan keselamatan kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE














