IPOH – Ibu bapa menyifatkan rancangan pendidikan untuk menggalakan anak-anak berusia enam tahun memasuki tahun satu bermula 2027 tiba tepat pada masanya ketika berdepan dengan silibus pembelajaran yang kian mencabar.
Seorang bapa, Mohd. Nor Kamaluddin, 39, berkata, keadaan itu mampu mempersiapkan anak-anak daripada sudut akademik sejak usia muda.
“Pengumuman itu tiba tepat pada masanya kerana mata pelajaran yang mencabar di sekolah terutamanya di sekolah rendah memerlukan anak-anak ini bersedia dari awal lagi,” katanya.
Intan Shuhada Mohd. Razali, 42, pula berkata, dia tidak kisah anaknya perlu memasuki tahun satu pada 2027, namun pihak sekolah perlu bersedia.
“Ia baik tetapi saya tak mahu persediaan pihak sekolah dan mana-mana pihak berkaitan dibuat secara cacamarba,” katanya.
Di George Town, Aina Rashid, 38, berkata, ibu bapa terutama yang mempunyai komitmen besar menyambut baik perancangan itu kerana ia dapat menjimatkan wang sekiranya anak diterima ke prasekolah.
“Namun, kami harapkan agar urusan permohonan kemasukan ke prasekolah dipermudahkan,” katanya.
Faridah Samat, 39, pula berkata, kemasukan awal bagi anak-anak berusia enam tahun sememangnya satu keputusan tepat dalam membina masa depan yang lebih cemerlang.














