KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada syarikat kontraktor pembersihan supaya tidak menggaji warga asing sebagai pemandu lori sampah atau motosikal tanpa mematuhi syarat undang-undang yang ditetapkan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, berdasarkan statistik operasi tahun lalu, kebanyakan kenderaan pembersihan khususnya lori sampah dipandu warga asing yang digajikan oleh kontraktor.
Menurut beliau, pihaknya mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat kontraktor berhubung tindakan segera yang perlu diambil bagi menghentikan amalan tersebut.
“Kami telah menegaskan supaya kontraktor tidak menggaji warga asing sebagai pemandu. Pilih pekerja yang mempunyai status sah dan lesen memandu yang diiktiraf pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa), di sini hari ini.
Hamidi menegaskan, pihaknya tidak menghalang warga asing memandu kenderaan di Malaysia, namun wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE














