KUALA LUMPUR – Sebanyak 376 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa), menurun berbanding 586 kenderaan pada tahun 2024.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, trend penurunan itu berterusan apabila hanya 58 kenderaan disita sejak 1 Januari hingga hari ini.
Menurut beliau, pengurangan jumlah sitaan berkenaan dipercayai hasil penguatkuasaan berterusan yang dijalankan pihaknya selain kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain.
“Berdasarkan statistik 2024 dan 2025, memang berlaku penurunan ketara bagi kes sewaan kenderaan melibatkan pemandu warga asing.
“Namun, perkara ini tidak bermakna penguatkuasaan akan dikurangkan. JPJ WPKL akan terus melaksanakan operasi dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung pelaksanaan Operasi Pewa di sini, hari ini.
Hamidi menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing tanpa kelayakan sah demi keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE














