ALOR SETAR – “Saya masih terbayang-bayang lambaian dua anak saudara semasa nak pergi jemput ibu mereka semalam. Dua beradik itu juga sempat pesan nak jumpa saya sebelah malam, namun tidak kesampaian.”
Demikian kata Muhammad Syafiq Mohd. Surodjidin, 22, adik kepada Allahyarham Muhammad Syazwan, 25, yang maut bersama dua anak, Muhammad Affan Mikhael, 2, dan Muhammad Aqeel Afnan, 4, dalam nahas membabitkan dua kereta di Jalan Kulim-Mahang, Kulim dekat sini kira-kira pukul 5 petang semalam.
Katanya, hubungannya dengan Muhammad Affan Mikhael dan Muhammad Aqeel Afnan sangat rapat kerana mereka dijaga nenek setiap kali ibu bapanya bekerja.
“Perasaan saya kosong bila mereka dah tiada kerana mereka ketenangan saya. Bila saya balik kerja, saya akan main dengan mereka, terus hilang rasa penat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Menurut Muhammad Syafiq, sebelum ini, dia dan ibu yang akan menjemput kakak iparnya itu dari tempat kerja dari Isnin hingga Khamis kerana arwah abang bekerja di sebuah kilang.
“Semalam abang tak kerja, jadi dia pergi jemput isteri bersama dua anak. Tidak sangka mereka terlibat kemalangan dan pergi buat selama-lamanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














