PETALING JAYA – Lelaki tempatan berusia 38 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes memukul seorang kanak-kanak menggunakan rotan di daerah ini dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut dan keputusan seterusnya.
“Orang kena tuduh (OKT) telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR dalam minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.21 petang pada kelmarin.
Shamsudin dilapor berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah dan suspek merupakan bapa saudara kepada mangsa yang berusia antara lapan hingga 11 tahun.
Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang dikatakan melawan ibu kepada suspek.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 35 saat yang memaparkan kanak-kanak dipukul menggunakan rotan serta dibaling kerusi tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE














