SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyifatkan aktiviti senamrobik berbaju kurung tanpa kain yang tular di media sosial sangat tidak beradab dan boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Menurut JAIS, perbuatan tersebut yang didakwa berlaku di Bukit Badong malah mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam
“JAIS sedang menjalankan siasatan merangkumi lokasi sebenar kejadian, penganjur program serta individu yang terlibat. Jabatan ini memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana perbuatan tersebut.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu atau menghubungi Hotline JAIS di talian 1800-88-2424,” kata JAIS dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pengguna Threads, @Erymerah, memaparkan rakaman menunjukkan sekumpulan wanita melakukan senamrobik di atas pentas semasa siaran langsung TikTok.
Dua wanita dilihat memakai baju kurung sekolah dengan seluar ketat, manakala seorang lagi dipercayai hanya memakai seluar pendek menimbulkan kecaman dan kemarahan ramai pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE














