KLANG – “Kita tidak takut dilawan, siapa nak lawan itu hak anda,”.
Itu pendirian tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengenai tindakan pihak yang mahu menentang parti itu.
Menurut beliau, parti itu enggan melayan pihak yang tiada hala tuju jelas dan pemikiran tidak matang.
“Saya nak jawab bahawa DAP tidak takut dilawan. Kalau anda nak lawan, kita juga boleh lawan anda.
“DAP berjuang di bawah landasan yang bukan untuk lawan orang tetapi lawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelampau perkauman,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025 di sini, hari ini.
Menurut Anthony, objektif utama parti itu dalam politik bukan untuk bermusuhan namun mahu bersama kerajaan membina negara dan membantu rakyat.
“DAP sentiasa memegang prinsip perlembagaan termasuk menjunjung setia kepada Raja-Raya Melayu. Kita mahu terus membentuk kehidupan masyarakat yang lebih baik, bersatu padu dan progresif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE













