fbpx
JAIS menyokong cadangan supaya pelaku rasuah diisytiharkan bankrap.

Perasuah dipenjara, keluarga atau proksi hidup mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CADANGAN Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SP­RM) supaya pencuri harta ne­ga­ra atau mereka yang melaku­kan rasuah diisytiharkan bank­rap mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ma­syarakat.

Ramai yang bersetuju de­ngan cadangan tersebut dan mahu dilaksanakan dengan tegas, namun berprinsip agar masalah tersebut tidak lagi menular dalam kalangan ma­syarakat di negara ini.

Rata-rata mereka mahu pembaharuan undang-undang dilaksanakan segera bagi memastikan keadilan sebenar ditegakkan kerana berlaku risiko penyalahgunaan kuasa.

Keperluan untuk memastikan sebarang tindakan kebankrapan atau penyitaan aset dilaksanakan melalui proses kehakiman yang adil, telus dan bebas daripada pengaruh politik.

Ikuti wawancara Wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Fahmi Ismail bersama Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mengenai isu ini.

 

KOSMO! AHAD: Apakah pendirian MCW terhadap cadangan SPRM supaya pencuri harta negara diisytiharkan bankrap?
JAIS: MCW menyokong cadangan ini dari sudut prinsip dan falsafah keadilan. Rasuah bukan sekadar kesalahan jenayah biasa, sebaliknya merupakan jenayah eko­nomi yang merompak hak rak­yat dan masa depan negara.

Oleh itu, hukuman tidak boleh terhenti setakat pemenjaraan se­mata-mata. Mengisytiharkan pe­rasuah se­bagai bankrap atau me­laksa­na­kan mekanisme setara yang me­musnahkan keuntungan hasil jenayah adalah langkah yang lo­gik dan wajar.

Ia menghantar mesej jelas bahawa rasuah tidak lagi memberi pulangan dan sesiapa yang mencuri harta negara bukan sahaja ke­hilangan kebebasan, malah kekayaan mereka.

Namun sokongan MCW adalah bersyarat. Pelaksanaannya mes­tilah berasaskan undang-undang, me­lalui proses kehakiman yang adil, telus dan bebas sebarang campur tangan politik.

Mengapa hukuman penjara dan denda sedia ada dianggap ti­dak lagi mencukupi dalam kes ra­suah berprofil tinggi?
Realitinya, dalam banyak kes berprofil tinggi, kita melihat pe­sa­lah menjalani hukuman penja­ra, tetapi keluarga atau rang­kaian proksi mereka terus hidup mewah.

Harta yang disembunyikan di luar negara, atas nama pihak ke­tiga atau syarikat cengkerang, se­ring kali tidak disentuh sepenuhnya.

Keadaan ini mewujudkan per­­sepsi bahawa rasuah adalah jenayah berisiko rendah, tetapi pu­langan tinggi.

Jika hukuman penjara hanya bersifat sementara sedangkan ke­­kayaan kekal, maka sistem ke­adi­lan gagal memberi kesan pen­cegahan.

Dalam konteks ini, pemulihan aset dan kebankrapan bukan tin­dakan yang melampau, tetapi pe­lengkap kepada hukuman jenayah bagi memastikan tiada manfaat kekal daripada perbuatan rasuah.

Adakah cadangan ini bercanggah dengan Perlembaga­an Persekutuan khususnya hak terhadap harta dan kebeba­san diri?
Tidak semestinya. Per­lem­baga­an Persekutuan tidak melin­dungi harta yang diperoleh secara haram. Artikel 13 memang menjamin hak terhadap harta, tetapi tertakluk kepada undang-undang dan proses yang sah.

Apa yang dilarang ialah ­pe­­ram­pasan harta sewenang-we­nang tanpa due process.

Oleh itu, selagi mekanisme ke­bankrapan atau sitaan aset di­buat selepas sabitan atau me­lalui prosiding sivil yang sah, di­selia oleh mahkamah dan memberikan hak pembelaan sepenuhnya kepada tertuduh, maka ia selari dengan prinsip perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Ma­salah sebenar bukanlah pada konsep, tetapi pada cara pelaksanaannya.

Bagaimana MCW melihat per­bandingan dengan negara lain seperti United Kingdom dan Singapura?
United Kingdom tidak meng­gu­nakan istilah ‘bankrap’ da­lam kes jenayah, tetapi melalui Proceeds of Crime Act 2002, mah­kamah diberikan kuasa merampas hasil jenayah selepas sabitan.
Ia merupakan proses kehakiman ketat, berasaskan bukti serta audit kewangan terperinci.

Singapura pula berjaya melaksanakan Confiscation of Benefits kerana dua faktor utama iaitu ins­titusi penguatkuasaan yang benar-benar bebas dan diperca­yai serta pendakwaan yang kon­sis­ten tanpa pilih bulu.

Malaysia boleh belajar daripa­da kedua-dua model ini, namun tidak boleh menyalin secara bulat-bulat.

Pelaksanaan mesti disesuaikan dengan realiti institusi tem­pa­tan dan tahap kepercayaan awam semasa.

Apakah risiko terbesar jika cadangan ini dilaksanakan tan­pa reformasi institusi menyeluruh?
Risiko paling besar ialah pe­nguat­kuasaan terpilih. Jika undang-undang ini hanya digunakan terhadap musuh politik atau kes tertentu, ia akan memusnahkan kredibiliti sistem antirasuah.

Lebih buruk, ia boleh bertukar menjadi alat politik, bukan ‘alat keadilan’.

Justeru, MCW menegaskan re­formasi institusi mestilah berjalan seiring termasuk kebebasan sebenar SPRM, pendakwaan yang bebas daripada tekanan ek­sekutif dan ketelusan dalam pemilihan kes berprofil tinggi.

Tanpa elemen ini, cadangan yang baik boleh berubah menjadi instrumen kezaliman.

Adakah langkah ini mampu memberi kesan kepada pe­ra­suah yang melarikan diri ke luar negara?
Ya, sekiranya disokong de­ngan kerjasama antarabangsa yang serius. Dalam dunia hari ini, wang tidak mengenal sempadan, na­mun undang-undang juga sema­kin bersifat global.

Melalui perjanjian bantuan pe­rundangan bersama (MLA), ker­jasama Interpol dan prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Ra­suah (UNCAC), aset boleh di­kesan, dibekukan dan disita walaupun pemiliknya berada di luar negara.

Mesejnya jelas, lari mungkin me­­nyelamatkan tubuh, tetapi ti­dak menyelamatkan harta.

Apakah pembaharuan un­­dang-undang yang MCW ca­dang­kan bagi memastikan langkah ini adil dan berkesan?
MCW mencadangkan beberapa pembaharuan utama, antaranya penggubalan undang-undang khas berkaitan pemulihan aset dan penyitaan sivil, pendedahan pemilikan benefisial wajib bagi semua syarikat dan amanah, pengukuhan keupayaan forensik kewangan serta kerjasama rentas sempadan.

Selain itu, mekanisme semakan kehakiman dan audit bebas terhadap kes berprofil tinggi juga perlu diwujudkan. Langkah ini bukan untuk ­menghukum lebih ra­mai, tetapi menghukum de­ngan lebih adil dan berkesan.

Apakah mesej utama MCW kepada kerajaan dan rakyat ber­hubung cadangan ini?
Mesej kami jelas, penjara tan­pa pemulihan aset hanyalah se­paruh keadilan. Rakyat tidak ma­hu melihat perasuah keluar penjara dan kembali hidup sebagai jutawan.

Jika Malaysia benar-benar se­rius memerangi rasuah elit, kita mes­ti berani memusnahkan ke­un­tungan jenayah itu sendiri. Namun keberanian mesti disertai kebijaksanaan, undang-undang yang adil dan institusi yang bebas.

Rasuah tidak boleh lagi menjadi jalan pintas kepada kekayaan. Ia mesti menjadi jalan pintas kepada kehancuran hidup, reputasi dan kuasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN