fbpx
Majlis perasmian AEON Kuantan disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam (lima dari kiri) mewakili Menteri Besar Pahang, bersama ahli pengurusan kanan AEON.

AEON buka pasar raya sulung di Kuantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – AEON Co. (M) Bhd. (AEON) terus memperluas kehadirannya di Pantai Timur dengan pembukaan rasmi pasar raya pertamanya di Kuantan, Pahang semalam.

Pasar raya seluas 49,331 kaki persegi yang terletak di Aras 2, East Coast Mall itu menawarkan pelbagai pilihan barangan runcit segar dan berkualiti termasuk keperluan isi rumah, barangan basah dan makanan laut.

Tawaran berkenaan diperkaya dengan rangkaian produk sejuk segar dan pilihan makanan seperti AEON Delicatessen, Coco Café dan La Boheme, yang menepati selera pengguna masa kini.

Bagi meningkatkan kecekapan proses pembayaran, AEON Kuantan turut dilengkapi teknologi peruncitan inovatif seperti kaunter layan diri dan troli pintar. Pilihan penghantaran dan pengambilan yang fleksibel turut disediakan melalui perkhidmatan myAEON2go.

Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko berkata, AEON Kuantan ditempatkan secara strategik sebagai destinasi beli-belah utama, khususnya bagi penduduk Kuantan dan kawasan sekitarnya.

“Dengan operasi sedia ada AEON Mall Kota Bharu di Kelantan, pembukaan AEON Kuantan memperluaskan rangkaian serantau AEON di Pantai Timur.

“AEON yakin dengan prestasi memberangsangkan East Coast Mall, disokong lokasinya yang strategik di pusat bandar serta aliran pengunjung yang stabil.

“Kehadiran AEON di East Coast Mall dijangka akan meningkatkan lagi kedudukan AEON dalam landskap peruncitan Pantai Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Disember 2025, AEON telah memperkenalkan AEON STYLE Supermarket di Setia EcoHill, Semenyih.

Beberapa pembukaan baharu lain turut dirancang tahun ini, antaranya AEON KL Midtown yang terletak di KL Metropolis serta AEON STYLE Supermarket di Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI