IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerima sebanyak 14 unit kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) bagi kegunaan anggota barisan hadapan yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan.
Timbalan Pengarah JPJ Perak, Mohd. Azmi Jaafar berkata, 14 unit BWC diterima pada November lalu, dengan lapan unit ditempatkan di JPJ Ipoh, empat unit di JPJ Cawangan Taiping dan dua unit di Stesen Penguat Kuasa Kuala Kangsar.
Katanya, penggunaan BWC akan meningkatkan lagi ketelusan dan integriti pasukan khususnya membabitkan interaksi secara langsung dengan masyarakat ketika operasi.
“Penggunaan peranti BWC ini adalah untuk merakam semua interaksi antara anggota penguat kuasa dengan pengguna jalan raya. Rakaman itu bukan sahaja untuk melindungi hak pengguna, malah melindungi anggota daripada salah faham, tuduhan tidak berasas dan dakwaan salah laku.
“Rakaman melalui peranti ini juga akan digunakan mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan oleh pihak ibu pejabat,” katanya sempena Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek di sini hari ini.
Menurut Azmi, peranti berkenaan beroperasi secara real-time selain tidak boleh ditutup sesuka hati oleh anggota kecuali di kawasan sensitif mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Jika kamera ditutup tanpa sebab dibenarkan, isyarat akan dihantar terus ke ibu pejabat sebagai langkah kawalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














