fbpx
Ahmad Izram (tiga,kiri) meneliti van jenazah yang diterima JBPM Pulau Pinang di Batu Kawan, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

JBPM sasar tingkat keahlian persatuan kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan kadar keahlian Persatuan Kebajikan JBPM di setiap negeri melebihi 90 peratus bagi memperkukuh kebajikan pegawai dan anggota, terutama ketika berdepan bencana atau musibah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, setakat ini kadar pendaftaran masih belum mencapai sasaran di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Kedah, dengan keahlian semasa masing-masing 716 orang (84.2 peratus) dan 712 orang (88.2 peratus).

“Di bawah kepimpinan Pengarah JBPM negeri ketika ini, saya yakin keahlian Persatuan Kebajikan dapat dipertingkatkan melebihi 90 peratus pada tahun ini.

“KWKB memang sedia ada, namun penyaluran bantuan mengambil masa kerana perlu melalui proses kelulusan tertentu. Melalui persatuan kebajikan, bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat, sebab itu kita galakkan anggota mendaftar sebagai ahli,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA) Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang, hari ini. Turut hadir, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah dan Pengarah JBPM Kedah, Awang Hidzhel Awang Bujang.

Dalam program itu, Ahmad Izram menyampaikan sumbangan kewangan kepada tujuh ahli persatuan yang terkesan akibat banjir di Kedah.

Selain itu, JBPM turut menerima dua van jenazah bernilai keseluruhan RM439,000 daripada Affin Bank Berhad melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan sebuah van diserahkan kepada JBPM Kelantan dan sebuah lagi kepada JBPM Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN