KUCHING – Tiada kejadian pecah masuk dikenal pasti dalam kes kematian sepasang suami isteri di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan di rumah pasangan guru besar dan jururawat itu turut mendapati tiada barangan berharga milik mereka yang dilaporkan hilang.
“Siasatan awal dijalankan pasukan forensik di lokasi semalam untuk mengumpul bukti yang boleh membantu siasatan.
“Bagaimanapun, setakat ini kami masih belum menemui petunjuk mengenai punca kematian pasangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan serta pihaknya giat mengumpul bukti dan mendapatkan keterangan saksi bagi membantu siasatan. Setakat ini, polis belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan seorang guru besar dan isterinya dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan di dalam rumah mereka di Taman Mutiara. Penemuan mayat pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu dimaklumkan kepada polis pada pukul 6.55 pagi.
Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia 17 dan 16 tahun serta seorang anak lelaki berusia sembilan tahun. – KOSMO! ONLINE














