SEREMBAN – Pemergian Pengasas dan Presiden Majlis Kanser Nasional (Makna), Allahyarham Datuk Mohd. Farid Ariffin disifatkan sebagai kehilangan besar kepada seluruh warga kerja pertubuhan itu yang menganggap arwah sebagai pendidik nilai dan inspirasi.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Makna, Imelda Suhanti Ishak, 50, berkata, Allahyarham bukan sekadar pengasas, sebaliknya pemimpin yang mendidik kakitangan supaya memahami erti tanggungjawab sebenar dalam membantu pesakit kanser.
“Arwah sangat berjiwa besar dan penuh semangat untuk membantu pesakit kanser. Beliau selalu mengingatkan kami supaya bekerja dengan hati dan sentiasa fikir, tugas ini untuk siapa,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Labu Hilir, Kampung Labu Hilir di sini, hari ini.
Imelda yang berkhidmat selama 23 tahun bersama Makna berkata, antara pendekatan unik yang diperkenalkan ialah MCE Homestay yang membolehkan kakitangan tinggal bersama pesakit selama tiga hari dua malam bagi merasai sendiri cabaran yang dihadapi mereka.
“Program ini masih kami praktikkan. Arwah mahu kami faham penderitaan pesakit supaya kerja yang dibuat bukan sekadar untuk menerima gaji, tetapi benar-benar memberi makna. Beliau buat kami rasa dihargai. Sukar dicari pengganti, tiada galang gantinya,” katanya.
Allahyarham Mohd Farid meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Nilai pada pukul 5.38 petang semalam pada usia 84 tahun. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Siti Mariam Hussein, 83, dua anak perempuan serta tujuh cucu. – KOSMO! ONLINE














