KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan mengakui masih berdepan trauma selepas kehilangan abang sulungnya, Allahyarham Amir Amdan yang meninggal dunia secara mengejut pada 14 Mei lalu.
Menurut Aizat, sehingga kini dia masih sukar menerima hakikat pemergian arwah yang disifatkan berlaku terlalu pantas tanpa sebarang petanda awal.
“Masih terbayang-bayang sampai sekarang. Rasa macam baru berlaku semalam sedangkan sudah hampir tiga minggu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Lebih menyentuh perasaan, berita kematian arwah diterima sejurus selepas dia selesai menghadiri sidang media pelancaran lagu terbaharunya bersama kumpulan SOG berjudul Ajar Aku.
Katanya, kehilangan tersebut sangat memberi kesan memandangkan arwah merupakan adik-beradik pertama yang pergi meninggalkan keluarga mereka.
“Kami enam beradik memang rapat sejak kecil. Bila seorang daripada kami tiada, memang terasa satu kehilangan yang besar,” ujarnya.
Menurut pelantun lagu Pergi itu lagi, arwah tidak pernah menunjukkan sebarang tanda mengalami penyakit serius sebelum mengadu sakit dada pada hari kejadian.
“Dia cuma mengadu sakit dada dan pergi ke klinik, tetapi rebah di hadapan klinik sebelum sempat mendapatkan rawatan. Sebab itu kami semua sangat terkejut,” katanya.
Aizat turut menyifatkan arwah sebagai seorang pemimpin keluarga yang disayangi ramai dan sentiasa mengambil berat tentang adik-beradiknya.
Malah, pemergian arwah turut memberi makna baharu terhadap lagu Ajar Aku yang dilancarkan pada hari sama tragedi tersebut berlaku.
Pada awalnya, dia mengakui enggan menyanyikan lagu berkenaan kerana terlalu emosional setiap kali mendengarnya.
“Saya memang tidak mahu nyanyi lagu itu selepas kejadian tersebut kerana setiap kali mendengarnya, saya akan teringat apa yang berlaku pada hari itu,” katanya.
Bagaimanapun, selepas cuba menerima ketentuan Ilahi, Aizat melihat lagu tersebut dari sudut yang berbeza.
“Saya rasa mungkin ini lagu untuk arwah walaupun asalnya ia tidak ditulis khusus untuk sesiapa (yang mendengar).
“Lagu itu membawa mesej pembelajaran, keinsafan dan hubungan manusia dengan Tuhan. Mungkin ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aizat bakal menghiburkan peminat menerusi persembahan Spotlight KLCC Series di Plenary Theatre KLCC pada 22 Ogos depan bersama SOG dan Orked Farhan.
Sementara penyanyi Noryn Aziz, Imran Ajmain dan Iman Troye akan mengadakan persembahan dalam siri yang sama pada 12 September depan. – KOSMO! ONLINE














