fbpx
PAK YUS menunjukkan kawasan tanah dan chalet miliknya yang kini menjadi laut di Nenasi, Pekan semalam.

Yang tinggal kini cuma geran laut – Pemilik chalet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – “Dulu saya gembira ada tanah dan chalet sendiri tetapi kini semuanya sudah berada dalam laut.”

Demikian kata Edde Firdaus Abdul Aziz, 46, yang kehilangan satu hektar tanah susulan kejadian hakisan di Nenasi di sini.

Lelaki yang juga dikenali sebagai Pak Yus itu berkata, dia membeli tanah seluas 1.4 hektar berharga RM350,000 sebelum memba­ngunkan chalet Kekunang pada tahun 2016.

Bagaimanapun, lebih separuh atau satu hektar daripada tanah miliknya lenyap menjadi laut dan kini keluasannya tinggal kurang daripada 0.4 hektar.

“Memang sayu apabila lihat tanah dan binaan chalet menjadi sebahagian daripada laut.

“Walaupun projek pemuliha­raan pantai dilaksanakan, namun sehingga kini hakisan terus berlaku dan keadaan makin teruk.

“Sewaktu mula-mula dulu (projek pemuliharaan pantai), memang saya menaruh harapan besar agar tanah ini akan selamat daripada hakisan, tetapi apabila melihat situasi sekarang, saya berasa kecewa, sedih dan putus asa,” katanya ketika meninjau lokasi tersebut semalam.

EDDE FIRDAUS menunjukkan tapak chalet miliknya yang paling hampir dengan daratan ketika tinjauan di Nenasi, Pekan semalam.

Ekoran kejadian hakisan itu, Edde Firdaus mendakwa dia mengalami kerugian kira-kira RM700,000.

Katanya, ketika ini chalet yang terletak paling hampir dengan daratan dijangka menerima nasib sama kerana telah tumbang disebabkan hakisan kuat.

“Mungkin chalet ini akan ditelan laut tidak lama lagi kerana tiada langkah yang tuntas dilakukan,” katanya.

Lelaki itu berkata, Chalet Kekunang hanya sempat bero­perasi selama lima tahun sebelum ‘rebah’ satu persatu disebabkan hakisan.

Sebelum ini, chalet itu yang mempunyai tujuh rumah menjadi tarikan pelancong asing kera­na unik terma­suk didirikan atas pokok selain mempu­nyai pelbagai kemudahan.

Sementara itu, pemilik Mek Kiting Chalet Campsite, Moha­mad Maidin, 74, berkata, situasi hakisan yang semakin ‘agresif’ turut membimbangkan dirinya dan pemilik chalet lain.

Katanya, tahun ini, kira-kira sembilan meter pantai terhakis berbanding tiga meter sebelum ini yang disifatkan terburuk setakat ini.

“Akibat hakisan, satu persatu pokok rhu di hadapan chalet saya tumbang. Setakat ini 20 batang pokok telah tumbang ke­rana hakisan. Saya juga kehila­ngan bot yang diletakkan di pantai disebabkan hakisan dan ombak kuat,” katanya.

Dakwanya, keadaan hakisan dilihat bertambah buruk selepas pembinaan benteng batu di Kuala Nenasi di sini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN