NEWCASTLE – Bintang baharu Manchester City, Antoine Semenyo terus mempamerkan aksi berbisa apabila sekali lagi menjaringkan gol ketika menang 2-0 ke atas Newcastle United pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di St. James Park itu, Semenyo berpeluang untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-63, namun dibatalkan selepas Erling Haaland didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.
Bagaimanapun, kemenangan 2-0 sudah cukup buat The Citizens untuk membawa pulang bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik yang dijadualkan berlangsung di Stadium Etihad bulan depan.
Bekas pemain sayap lincah Bournemouth itu berkata, dia gembira kerana dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan yang lain selain sudah mengumpul dua jaringan selepas menyertai City minggu lalu.
“Hari ini (semalam) saya berada di posisi yang tepat untuk melakukan jaringan dan saya sangat gembira dapat membantu pasukan mencatat kemenangan. Suasana di sini cukup sempurna dan sangat membantu.
“Semua pemain dalam pasukan menunjukkan kemahuan cukup tinggi untuk mencatat kemenangan. Saya fikir kami semua berkongsi impian yang sama iaitu untuk membantu pasukan memenangi gelaran dan trofi,” katanya.
Pada penampilan sulungnya Sabtu lalu, Semenyo sudah pun menjaringkan satu gol ketika membantu City membelasah kelab kerdil, Exeter City 10-1 pada aksi pusingan ketiga saingan Piala FA. – AGENSI














