BOTTOM drift atau ‘berhanyut dasar’ merupakan salah satu teknik yang menggabungkan kaedah pancingan dasar dan diselarikan dengan pergerakan bot berhanyut mengikut arus.
Cara ini membolehkan umpan bergerak secara semula jadi di
dasar, lantas cepat menarik perhatian ikan.
Berbanding pancingan dasar statik, teknik ini lebih fleksibel dan berkesan untuk meneroka sesuatu lubuk yang luas tanpa perlu bot berjangkar di satu-satu lokasi sahaja.
Persembahan umpan yang kelihatan natural menjadikan teknik ini sangat sesuai digunakan dalam keadaan arus perlahan hingga sederhana, terutamanya bagi memburu spesies ikan dasar seperti jenahak, merah dan kerapu.
Sesi pancingan
Trip kali ini melibatkan saya bersama empat orang rakan, menjadikan kami berlima memburu hasil di Batu Laut, Banting, Selangor. Kawasan ini terkenal sebagai lokasi memancing popular di Selat Melaka, dan terletak di laluan utama kapal dagang antarabangsa.
Kehadiran kapal-kapal besar bukan sahaja menambah keunikan pemandangan, malah memberi kesan positif kepada struktur dasar laut. Banyak kawasan lubuk terbentuk hasil pergerakan arus dan mendapan, sekali gus menjadikan perairan Batu Laut kaya dengan spesies ikan berada di dasar.
Selain suasana laut terbuka yang mencabar, ikan dasar bersaiz besar juga menjadi tarikan utama pemancing datang ke sini.
Walaupun perairan ini tidak sedalam perairan lain, namun struktur dasarnya yang tidak sekata menjadikan lokasi ini sangat sesuai untuk pancingan dasar dengan teknik bottom drift.
Di awal trip, kami merancang untuk mengaplikasikan teknik jigging bagi memburu ikan pelagik seperti talang dan GT. Namun sebaik bot tiba, tekong memaklumkan bahawa arus pada hari tersebut agak perlahan, dan tidak beberapa sesuai untuk memainkan kepingan besi itu.
Oleh itu, kami mengambil keputusan menukar strategi dan terus melakukan pancingan dengan teknik bottom drift bagi memburu ikan dasar.
Umpan dan teknikal
Umpan utama yang digunakan adalah sotong kurita kerana ia merupakan umpan paling versatil untuk perairan ini. Saiz umpan dicangkuk juga besar untuk menepis getuan ikan-ikan kecil yang suka mengacau.
Biasanya, hanya ikan dasar bersaiz besar yang betul-betul menyambar umpan ini, sekali gus menjadikan setiap strike lebih bermakna.
Tekstur daging sotong kurita yang liat membuatkan ia dapat bertahan lama di dalam air, dan bau semula jadinya juga membantu menarik perhatian ikan, walaupun ketika arus perlahan.
Kami menggunakan perambut jenis ‘T’ atau paternoster bercabang satu yang dapat membantu mengekalkan kedudukan umpan supaya stabil dan mengelakkan tali berpintal ketika bot berhanyut perlahan.
Batu ladung saiz antara nombor tujuh hingga 10 digunakan mengikut kekuatan arus. Pemilihan saiz batu ladung yang tepat dapat memastikan umpan sentiasa berada hampir dengan dasar dan tetap bergerak secara natural.
Teknik bottom drift memerlukan kesabaran serta kepekaan tinggi kerana ikan dasar seperti jenahak, merah dan lain-lain, biasanya gemar mengutis perlahan sebelum menelan umpan sepenuhnya.

Pemancing perlu ‘membaca’ getuan-getuan ini dengan betul, dan sentapan dilakukan pada masa tepat untuk memastikan mata kail tertancap kemas, sekali gus mengurangkan risiko ikan rabut.
Bermula strike
Detik paling mendebarkan berlaku apabila salah satu joran tiba-tiba melentur kuat ke air. Tarikan yang dirasai cukup padu, jelas menun-
jukkan ia bukan ikan kecil.
Selepas beberapa minit bertarung, drag ‘menjerit’ dan joran melengkung, seekor jenahak saiz kira-kira lima kilogram (kg) berjaya didaratkan oleh Nami dengan penuh tenang, dan sorakan kegembiraan jelas kedengaran selepas itu.
Tidak lama selepas itu, giliran Dinie pula menerima strike bertubi-tubi. Beberapa ekor ikan dasar seperti jenahak, kerapu dan gerut-gerut berjaya dinaikkan.
Walaupun saiznya berbeza-beza, namun setiap pertarungan tetap memberikan kepuasan tersendiri, terutamanya apabila ikan cuba menyusup ke kawasan karang di dasar laut.
Kerjasama antara rakan-rakan di atas bot amat penting untuk memastikan tali tidak bersilang dan ikan dapat dinaikkan dengan selamat. Komunikasi dengan tekong juga membantu menyesuaikan kedudukan bot supaya ikan tidak meloloskan diri.
Sepanjang hari, aktiviti ikan pelagik kelihatan sepi, hanya seekor ikan talang berjaya dinaikkan, menunjukkan ikan di pertengahan air kurang aktif akibat arus perlahan.
Namun, ikan dasar tetap menunjukkan respons baik terhadap umpan yang ‘beralun’ secara natural menggunakan teknik bottom drift.
Menjelang petang, kami mula mengemas peralatan dan bersiap pulang ke jeti. Secara keseluruhan, trip memancing di perairan Batu Laut ini memberikan pengalaman berharga.
Ia mengajar bahawa kejayaan dalam trip memancing bukan hanya bergantung pada lokasi, tetapi kefahaman teknik, keadaan arus, serta pemilihan umpan yang tepat.
Teknik bottom drift digabungkan dengan umpan sotong kurita terbukti berkesan ketika arus laut bergerak perlahan.
Walaupun hasil tidak melimpah, namun pengalaman, masa berharga bersama rakan-rakan dan sesi pembelajaran daripada laut menjadikan trip ini satu kenangan yang sukar dilupakan.















