KULAI – Sikap tamak seorang lelaki yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di bandar ini menyebabkan dirinya mengalami kerugian RM668,800 selepas terjebak dengan pelaburan tidak wujud yang disertainya sejak hujung tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki warga tempatan berusia 65 tahun itu terjebak selepas ‘tergoda’ dengan tawaran pulangan antara 10 hingga 20 peratus keuntungan daripada setiap jumlah wang yang dilaburkan.
Katanya, teruja dengan nilai keuntungan diperolehi, lelaki itu telah membuat 25 transaksi dalam 17 akaun berbeza bernilai RM668,800 bermula 28 November 2025 hingga 6 Januari lepas.
“Mangsa kemudiannya membuat semakan dalam aplikasi JBS Shop miliknya dan mendapati keuntungan diperolehi berjumlah 102,303.64 USD atau kira-kira RM409,294 sebelum berhasrat mengeluarkannya.
“Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila akaunnya disekat sebelum menyedari telah ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, semalam,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda.-KOSMO! ONLINE














