fbpx
GHEA menegaskan konsertnya kali ini mengangkat falsafah tentang penerimaan diri dan perjalanan emosi manusia yang tidak semestinya sempurna. 

Ghea Indrawari ajak ‘jiwa bersedih’ ke Zepp KL Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMBALI menyebarkan aroma cinta, penyanyi popular Indonesia, Ghea Indrawari bakal tampil dengan konsert  Ghea Indrawari: Rasi Jiwa live in Kuala Lumpur pada 8 Mei ini.

Persembahan mega yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur itu pastinya sarat emosi selain lebih intim selari dengan identiti muzik penyanyi dan pelakon berusia 28 tahun itu.

Apatah lagi, dia sinonim dengan seleksi balada berteraskan kejujuran serta penceritaan jiwa yang dekat di sanubari khalayak.

Berkongsi mengenai konsep konsert itu, Ghea berkata, Rasi Jiwa mengangkat falsafah tentang penerimaan diri dan perjalanan emosi manusia yang tidak semestinya sempurna.

“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’ dan mengajak anak muda untuk mengakui proses termasuk fasa bingung, jatuh serta belum selesai,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Jiwa Yang Bersedih itu lagi, walaupun ada yang menganggap karya bersifat ‘healing’ ini sebagai klise, ia sebenarnya menjadi suara buat sesetengah individu. 

“Saya selalu beritahu kepada peminat, mungkin ada yang beranggapan lagu-lagu sayangi diri karya  klise. 

“Tapi, untuk mereka yang memerlukan sandaran dan mahu suara mereka didengari serta layak untuk dicintai, jadi marilah ke Zepp Kuala Lumpur pada Mei nanti,” ujarnya.

Menurutnya, konsert berkenaan turut diberi sentuhan tersendiri untuk menyuntik pengalaman lebih dekat kepada penonton.

“Saya mahu kita sama-sama berkongsi setiap momen manis pada malam itu dengan berlapang jiwa,” ujarnya yang pernah datang ke Malaysia pada November 2024.

Interaksi emosi

Terdahulu, nama Ghea muka menyerlah sejak menyertai pertandingan Rising Star Indonesia musim kedua pada 2016.

Dua tahun kemudian dia mencuba nasib dalam program Indonesian Idol musim kesembilan dan meraih Golden Buzzer seterusnya bergelar finalis. 

Selain aktif menyanyi, Ghea turut mengembangkan bakat sebagai komposer dan pengacara.

Sementara itu, pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert juga dikatakan bertepatan dengan konsep Rasi Jiwa yang menekankan elemen keintiman serta interaksi emosi antara artis dan penonton.

Kaedah itu adalah dengan menawarkan beberapa kategori tiket termasuk zon berdiri bebas, tempat duduk bernombor serta kawasan VIP berhampiran pentas.

Kategori tiket dinamakan berdasarkan fasa emosi kehidupan dengan harga ditawarkan bermula RM198 hingga RM238 bagi zon berdiri tingkat bawah serta RM338 hingga RM368 bagi tempat duduk tingkat atas.

Peminat setia yang inginkan pengalaman eksklusif, penganjur  menawarkan VIP Suite berharga RM5,000 serta pakej Meet & Greet pada harga RM300.

Tiket konsert ini boleh ditempah menerusi laman web rasmi GheaRasiJiwaKL.com dan platform jualan tiket LOKET bermula 11 Januari lalu.

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI