fbpx
LEE Zii Jia terpaksa pulang awal Terbuka India.

Terbuka India: Zii Jia nampak tanda positif walaupun tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Walaupun perjalanan di Terbuka India terhenti awal, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyifatkan kekalahan sengit tiga set kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke sebagai satu petanda positif.

Bekas juara All England itu mengakui gembira melihat corak permainannya yang jauh lebih baik berbanding aksi minggu lalu di Terbuka Malaysi.

Dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu, pemain profesional negara itu mempamerkan semangat juang tinggi selama 62 minit sebelum terpaksa akur tewas 13-21, 21-18, 18-21 kepada Gemke.

Zii Jia, yang kini sedang dalam misi memperbaiki ranking dunianya selepas dibelenggu kecederaan belakang tahun lalu mengakui terdapat perbezaan ketara dalam mutu persembahannya di New Delhi jika dibandingkan dengan kekalahan mudah kepada Ayush Shetty di Axita Arena, baru-baru ini.

“Berdasarkan apa yang saya lakukan di Terbuka Malaysia dan perlawanan hari ini, saya rasa terdapat banyak peningkatan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurut Zii Jia, biarpun proses pemulihan daripada kecederaan masih menjadi cabaran, dia melihat perkembangan semasa dirinya sebagai sesuatu yang memberangsangkan.

“Saya mahu menang, tetapi nampaknya ia masih belum mencukupi di set ketiga dan saya perlu menerimanya,” tambah Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-144 dunia.

Pada perlawanan tersebut bermula agak perlahan buat Zii Jia apabila gagal menyerap asakan pantas Gemke di set pertama, menyebabkannya ketinggalan dan tewas 13-21.

Namun, skrip berbeza dipamerkan di set kedua apabila Zii Jia bangkit dengan corak permainan lebih agresif untuk menang 21-18, sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata. Walau bagaimanapun, ketenangan Gemke (ranking ke-26 dunia) pada saat-saat akhir membolehkannya menoktahkan kemenangan 21-18, sekali gus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam lima pertemuan menentang Zii Jia.

Pemain berusia 28 tahun itu kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada kejohanan Indonesia Masters minggu depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN