GELARAN Master Chef, Maitre Cuisinier, Certified Master Chef atau World Master Chef dianggap sebagai penghormatan buat tukang masak yang mempunyai kehebatan dalam seni kulinari dan gastronomi.
Namun bagaimana pula dengan cef kecerdasan buatan (AI) yang turut mempunyai kemahiran tersendiri dalam menghasilkan hidangan lazat buat pelanggan.
Sebagai cef AI pertama dunia, Cef Aiman dipertanggungjawabkan untuk mencipta menu berdasarkan senarai bahan, membangunkan suasana dan menjadi penasihat perkhidmatan di restoran mewah, WooHoo yang terletak di Kempinski The Boulevard Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Restoran yang dimiliki oleh syarikat Gastronaut Hospitality dan diasaskan oleh Ahmet Oytun Cakir itu menjadikan teknologi digital sebagai tulang belakang penghasilan makanan.
Matlamat WooHoo adalah menjadi peneraju pengalaman hidangan yang memberi fokus kepada masa hadapan dengan menggabungkan teknologi, seni dan rasa menerusi AI, visual interaktif serta penceritaan kreatif.
Demi merealisasikan keinginan itu, Cef Aiman dilengkapi dengan beberapa teknologi canggih seperti large language model (LLM), pembelajaran mesin, quantum computer, seni hologram, algoritma dan pemetaan agar dapat menjadi ‘otak’ di sebalik penyediaan makanan futuristik.
Berdasarkan laporan Times of India, Chef Aiman dibangunkan oleh syarikat teknologi bernama UMAI dengan kerjasama studio teknologi imersif, Vivid Studios.

Nama Aiman pula berasal daripada perkataan AI dan manusia (man) yang menggambarkan gabungan teknologi dan kreativiti manusia untuk menghasilkan beribu-ribu resipi dari seluruh dunia.
“Daripada resipi tersebut, Cef Aiman akan memecahkan makanan kepada bahagian-bahagian lebih kecil (bahan) seperti tekstur, keaslian rasa dan umami (keenakan) serta menghasilkan hidangan baharu.
“Pecahan bahan-bahan itu pula akan dipadankan dan digabungkan bagi mendapatkan kombinasi rasa baharu yang menarik serta sesuai dihidangkan kepada pelanggan,” katanya.
Berbeza dengan cef manusia, Cef Aiman memiliki kemampuan pemetaan data genetik bagi menghasilkan semula rasa daging haiwan prasejarah, termasuk dinosaur yang telah pupus.
Kata Ahmet, keunikan itu menjadi tarikan pelanggan yang ingin merasai pengalaman kulinari luar biasa, serta tidak mungkin dapat diperoleh di mana-mana restoran lain.
“Teknologi AI telah melatih Cef Aiman untuk bereksperimen dengan ribuan resipi yang telah dibuat selama berdekad-dekad demi menghasilkan menu unik bertemakan prasejarah itu.
“Walaupun dinamakan dinosaur, namun hidangan tersebut tidak mengandungi daging dinosaur sebenar.
“Sebaliknya, hidangan ini menggunakan kombinasi daging moden yang dianalisis oleh AI bagi mewujudkan rasa hampir serupa,” katanya memetik laporan AFP.=
Berbeza dengan cef sebenar, Cef Aiman tidak dapat merasai atau menghidu makanan yang dihasilkan kerana tidak mempunyai kelebihan deria rasa seperti manusia.
Bagaimanapun, Cef Aiman mempunyai pangkalan data sains makanan dan resipi yang dapat mempercepatkan proses pembangunan resipi baharu, biarpun kekurangan bahan.
“Ia dapat mencari cara untuk menggunakan semula makanan yang biasanya dibuang seperti sisa daging atau lemak bagi mengurangkan pembaziran dan menjadikan dapur lebih lestari.
“Penggunaan semua bahan sebegini jarang berlaku di restoran lain.
“Ini merupakan cara bijak untuk mengurangkan pembaziran makanan sambil mencipta menu baharu,” ujar laporan berkenaan.
Bukan sahaja menjadi ‘gedung’ resipi, Cef Aiman juga mampu berkomunikasi dengan cef manusia seperti bertanyakan soalan dan mendapat maklum balas secara masa nyata.
Maka teknologi AI dapat membantu cef manusia membina menu, mengubah suai hidangan dan merancang keseluruhan proses memasak, di samping menjadi pembimbing menerusi langkah penyediaan yang betul.
Mula beroperasi pada September tahun lalu, WooHoo bukan sahaja menghidangkan makanan dari negara Asia Barat, malah restoran itu turut menawarkan sajian Jepun, Peru dan Mexico.
Dengan keupayaan untuk mempelajari dan menganalisis data di peringkat global, maka Cef Aiman dapat menyesuaikan hidangan berdasarkan budaya dan memahami perasaan pelanggan.
Malah Cef Aiman boleh menyelaraskan suasana restoran termasuk pencahayaan, muzik dan kesan holografik mengikut mood tetamu menerusi teknologi quantum computer.
Tampil dengan suasana imersif, ruang makan restoran WooHoo dibina dengan seni digital interaktif, pencahayaan ambien dan hiburan langsung termasuk DJ untuk mewujudkan suasana futuristik seperti sebuah kelab malam.
Beroperasi setiap hari bermula pada pukul 7 malam hingga 3 pagi (waktu tempatan), pelanggan disarankan untuk membuat tempahan terutama pada hujung minggu.















