GUA MUSANG – Lebih 1,500 Penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil terus di sini, dihantui ancaman kawanan gajah liar apabila kumpulan haiwan berkenaan menceroboh kawasan penempatan tiga hingga empat kali sebulan.
Terbaharu, kira-kira 20 ekor gajah liar menceroboh kampung itu kira-kira pukul 9 malam hingga 4 pagi kelmarin sebelum merosakkan pelbagai tanaman dan anjung rumah penduduk.
Seorang penduduk, Hazura Ismail, 40, berkata, dia terkejut apabila melihat anjung hadapan rumahnya rosak dirempuh kawanan gajah berkenaan.
“Kami pada awalnya tidak perasan kelibat gajah selepas terdengar bunyi dari kawasan luar rumah. Saya dan anak sangat takut dan hanya mampu berdiam diri di dalam rumah.
“Tidak lama selepas itu, saya keluar rumah selepas terdengar enjin motosikal penduduk kampung sebelum mereka memaklumkan gajah baharu sahaja beredar selepas merosakkan anjung rumah kami,” katanya.
Zaid Yaacob, 61, berkata, penduduk bukan sahaja berdepan kerugian akibat kerosakan tanaman di kebun dan ladang tetapi juga memberi ancaman keselamatan nyawa.
“Kami ketakutan apabila melihat kawanan gajah semakin berani menghampiri rumah dan merosakkan tanaman seperti pisang, kelapa dan pokok getah di kawasan sekitar.
“Serangan yang berlaku semalam (kelmarin) merupakan antara yang paling teruk apabila gajah berada di belakang rumah. Gajah juga merosakkan pagar dan beberapa buah rumah. Kami orang kampung tiada ‘senjata’ untuk mempertahankan diri dan hanya mampu menghalau,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Chalil, Hasan Saleh berkata, penduduk sebelum ini telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun masih tiada tindakan berkesan dilakukan.
Katanya, penduduk berharap agar pihak berkuasa tampil dengan melakukan langkah berkesan seperti membuat kawalan, pemantauan atau tindakan pemindahan agar keselamatan terjamin.














