NEW DELHI – Seorang lelaki dikenali sebagai Vishnu merakamkan detik-detik dia membawa ibu bapanya menaiki pesawat penumpang buat pertama kali dalam hidup mereka di India, lapor portal berita India Today kelmarin.
Dalam satu rakaman video, Vishnu berdiri di sisi ibu bapanya di atas landasan dengan sebuah pesawat IndiGo di belakang mereka.
Langkah ibu bapa lelaki tersebut masih kekok ketika melalui lapangan terbang tetapi keterujaan jelas terpancar di wajah mereka.
Ketika ibu bapanya bergerak melalui lapangan terbang sambil jelas memerhati dan menikmati persekitaran sekeliling, rasa bangga Vishnu begitu ketara.
Satu ayat ringkas yang dipaparkan pada klip video itu: “Impian setiap anak lelaki, Akhirnya impian menjadi kenyataan.”
Sebahagian netizen memberikan komen tentang detik-detik Vishnu bersama ibu dan bapanya.
“Inilah rupa sebenar kejayaan,” komen seorang netizen.
Seorang lagi menulis, “Ini adalah impian setiap orang daripada golongan kelas pertengahan.” – AGENSI














