fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik terus menghidupkan peluang bagi memburu gelaran Terbuka Malaysia selepas mara ke suku akhir. - SHIDDIEQIIN ZON

Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik ‘mandi peluh’ ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperbaiki prestasi musim lalu apabila melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada aksi pusingan kedua sebentar tadi, bekas juara dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-14, 14-21, 21-14 ke atas beregu China, Chen Xu Jun-Liu Yang dalam tempoh 62 minit.

Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan No.2 dunia itu mempamerkan aksi cukup konsisten dalam ketiga-tiga set permainan sehingga mendapat tepukan gemuruh penonton-penonton di stadium.

“Kami memang menjangkakan tentangan sengit kerana gandingan baharu biasanya akan memberikan cabaran yang hebat. Tambahan pula, beregu-beregu dari China memang sukar untuk dikalahkan.

“Kami juga tidak memandang rendah kemampuan mereka kerana kami memberikan sepenuh fokus dalam perlawanan hari ini. Apa yang penting adalah untuk tidak membiarkan jarak mata terlalu jauh,” kata Wooi Yik ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Menjelang suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu adalah ketika melangkah ke separuh akhir pada edisi 2022 manakala tahun lalu langkah mereka tersekat di pusingan kedua.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut melangkah ke suku akhir selepas membenam cabaran pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-9, 21-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI