PUTRAJAYA- Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang. Ia mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan dan keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
“Penelitian ini dibuat dengan mempertimbangkan perkara seperti skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” katanya.
Penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu.
Ia turut meliputi dapatan hasil siasatan lanjut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan itu dari semasa ke semasa.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Berikutan keputusan itu, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh SPRM yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana tersebut. – KOSMO! ONLINE














