SHAH ALAM – Kerajaan Selangor telah menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada seorang individu untuk membina eskalator di sebuah kuil di Batu Caves.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu, berkata keputusan itu dibuat kerana tanah yang dimohon adalah tanah rizab kerajaan negeri.
“Tanah tersebut tidak boleh dipohon oleh individu kerana ia adalah untuk kegunaan orang awam. Kita hanya akan mempertimbangkan permohonan LPS jika ia dibuat melalui persatuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau juga mendedahkan bahawa pihak pengurusan kuil berkenaan telah membina beberapa bangunan yang dijadikan pusat perniagaan tanpa mendapatkan sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Justeru, kita akan menjalankan siasatan ke atas semua premis tersebut dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kuil yang sangat popular di dalam dan luar negara itu sepatutnya menjadi contoh kepada kuil lain.
“Semua kuil yang ingin membina bangunan di sekitarnya perlu memohon kebenaran daripada PBT sebelum memulakan sebarang pembangunan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














