PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan etnik Rohingya yang masih degil berniaga di Taman Sri Murni, Batu Caves menimbulkan kemarahan kalangan pengguna di media sosial.
Ini kerana dakwa mereka, tempat tersebut pernah ‘digempur’ pempengaruh media sosial Awie.mbr atau lebih dikenali Abang Koroy, tetapi etnik tersebut seolah-olah kebal dan semakin berani.
Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna di aplikasi Threads dikenali sebagai Hanafi_rozz berkata, etnik tersebut masih bebas berniaga hari ini tanpa pemantauan dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kebersihan tidak dijaga, ludah sana sini, sampah sana sini. Kesannya lambakan tikus berkeliaran dan juga takungan air menyebabkan jentik-jentik.
“@kementeriankesihatanmalaysia seperti yang anda tahu kawasan sini terdapat lambakan kes denggi. Report (laporan) juga telah dibuat tapi masih tiada tindak balas,”luah inividu tersebut.
Dakwa individu itu lagi, terdapat peningkatan drastik etnik Rohinya di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan keresahan penduduk setempat.
“Takkan nak tunggu ada kematian baru pihak berwajib nak jalankan tugas? Dua tiga hari ini terdapat peningkatan Rohingya yang drastik di kawasan ini.
“Adakah ini transit atau tempat menyorok bagi Rohingya bila ada serbuan?,”soalnya.
Pada masa sama, individu tersebut mahu pihak berkuasa turut mengambil tindakan tegas terhadap penduduk setempat yang memberi kemudahan sewa rumah kepada etnik tersebut.
“Satu rumah mencecah 10-15 orang. Berlakunya masalah sosial, ludah meludah, kebersihan tidak dijaga, membela kambing di dalam rumah, vandalisme, gejala bawa motor tanpa lesen,”katanya. – KOSMO! ONLINE













