PETALING JAYA – Kenyataan terbaharu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di media sosial hari ini mencetuskan tanda tanya.
Beliau menerusi hantaran tersebut seolah-olah memberi bayangan untuk mengundur diri daripada jawatan yang disandangnya itu.
Menerusi hantaran berkenaan, Dr. Muhamad Akmal menyatakan bahawa segala usaha telah dilakukan sehabis baik selain mengakui kemungkinan kelemahan berpunca daripada dirinya sendiri.
“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik. Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” katanya.
Kenyataan itu pantas mengundang reaksi ramai yang tertanya-tanya sama ada ia berkait tekanan dalaman parti, kritikan terhadap kepimpinan sayap Pemuda atau perkembangan politik semasa melibatkan UMNO.
Dr. Muhamad Akmal namun turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong perjuangan yang dibawa Pemuda UMNO selama ini.
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini. Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan maksud sebenar hantaran tersebut sama ada ia sekadar luahan perasaan atau isyarat kepada perubahan besar dalam kepimpinan Pemuda UMNO.
Dr. Muhamad Akmal beberapa hari lalu mengadakan Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang antara lain bersetuju supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Desakan itu namun ditolak oleh kepimpinan tinggi UMNO yang mahu parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal. – KOSMO! ONLINE














