PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggotanya yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, kepimpinan tertinggi TUDM amat kesal dengan sebarang perbuatan yang mencemarkan imej serta maruah pasukan dan memberi jaminan tindakan paling tegas akan diambil sekiranya seseorang didapati bersalah.
“TUDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin. Siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana anggota yang didapati melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk diberhentikan daripada perkhidmatan dengan keji, sekiranya disabitkan kesalahan.
Katanya, sebarang aktiviti tidak bermoral dalam kawasan pangkalan adalah dilarang sama sekali kerana ia bukan sahaja melanggar peraturan, malah mencemarkan imej, maruah dan profesionalisme TUDM sebagai sebuah angkatan pertahanan negara.
“TUDM komited untuk memastikan tahap disiplin dan integriti sentiasa berada pada tahap tertinggi selaras dengan nilai Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu, tular di beberapa platform media sosial beberapa gambar dan rakaman video mendakwa berlaku budaya tidak wajar dan perlakuan yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan di dalam kem tentera.
Kelmarin media melaporkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan budaya tidak wajar dalam kem tentera yang tular di media sosial.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan, memaklumkan siasatan itu bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh. – KOSMO! ONLINE














