TAHUN 2025 yang baru melabuhkan tirai pada minggu lalu menjadi permulaan kepada perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik dan robot humanoid.
Keterbukaan khalayak dalam menyambut baik evolusi teknologi tersebut secara tidak langsung telah membuka lebih banyak peluang kepada perkembangan pelbagai industri yang memberi manfaat.
Pada tahun ini, dunia sains dan teknologi dijangka menyajikan keterujaan apabila pelbagai gajet yang dinanti-nantikan bakal menjadi tumpuan, sekali gus mengubah gaya hidup orang ramai.
Setelah menyaksikan pelbagai perkembangan teknologi terdahulu, tahun ini syarikat gergasi gajet, Apple dilaporkan bakal melancar telefon lipat pertama yang dikenali sebagai iPhone Fold.
Telefon pintar itu dijangka berada di pasaran sekitar September depan. Ia bakal dilancarkan bersama model iPhone 18 Pro dan Pro Max.
IPhone Fold dijangka memiliki rekaan jenis lipatan buku (book style) dengan skrin dalaman fleksibel bersaiz sekitar 7.6 hingga 7.8 inci, manakala skrin luaran sebesar 5.5 hingga 5.8 inci.
Apple dilaporkan sedang dalam fasa membangunkan teknologi engsel dan skrin inovatif bagi memastikan paparan tidak mempunyai kesan lipatan yang ketara.
Berbeza dengan iPhone model semasa, iPhone Fold berkemungkinan besar akan menggunakan sistem touch ID (mungkin pada butang kuasa) dan bukannya Face ID bagi menjimatkan ruang dalaman peranti.
Pastinya, bahan premium akan digunakan untuk membangunkan telefon tersebut, di mana titanium dan aluminium atau keluli tahan karat menjadi pilihan bagi mengekalkan kekuatan tanpa menambah beratnya.
Menurut Bloomberg, sistem operasi iOS 27 dijangka dilancarkan tidak lama lagi dengan dilengkapi ciri-ciri khas untuk menyokong skrin boleh lipat, termasuk fungsi multitugas seperti yang ada pada iPadOS.
“Spesifikasi dalaman pula akan menggunakan cip A20 terbaharu dengan memori RAM sehingga 12GB untuk menyokong tugasan AI.
“Bukan itu sahaja, Apple dikhabarkan akan memperkenalkan HomePad iaitu peranti pintar kediaman dengan skrin tujuh inci pada awal tahun ini,” ujar laporan itu.
Samsung pula akan terus memperhebatkan produk keluaran syarikat itu melangkaui gajet komunikasi.
Syarikat berpangkalan di Korea Selatan itu dijangka memperkenalkan Samsung Bespoke AI Vision yang dikuasakan oleh Google Gemini sebagai inovasi dapur pintar.
Inovasi tersebut dijadualkan diperkenalkan pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2026 di Amerika Syarikat pada bulan ini.
Pendedahan dalam pameran itu bakal menjadi simbolik kepada pelancaran Samsung Bespoke AI Vision yang menggunakan kepakaran AI diintegrasikan ke dalam perkakas dapur terutamanya peti sejuk.
Menurut ruangan Samsung Newsroom, peti sejuk itu akan menjadi perkakas rumah pertama di dunia yang menggunakan AI Gemini daripada Google bagi membolehkan ia membuat pengecaman makanan dengan lebih baik.
Berbeza dengan model-model sebelumnya, versi 2026 dipertingkatkan dengan sistem canggih supaya pengecaman makanan dapat dibuat lebih tepat menerusi sistem AI Vision Inside 2.0.

Sistem tersebut membuatkan peti sejuk berkenaan dapat mengenal pasti sehingga 37 jenis makanan segar dan 50 produk bungkusan bagi mengurangkan pembaziran makanan.
“Model Bespoke dilengkapi dengan kamera dalaman berteknologi AI bagi membolehkan pengurusan inventori dilakukan menerusi aplikasi pintar pada telefon atau skrin peti sejuk.
“Skrin bukan sahaja akan memaparkan bilangan makanan, malah tarikh luput dan cadangan resipi bagi memudahkan pengguna menguruskan stok,” katanya.
Sementara itu, jutawan digital, Elon Musk juga tidak mahu ketinggalan apabila dijangka melancarkan Grok 5 iaitu model bahasa besar (large language model) yang dibangunkan oleh syarikat xAI.
Grok 5 merupakan model generasi baharu AI.
Pelancaran teknologi tersebut yang dijadualkan sekitar suku pertama tahun ini dijangka tampil dengan evolusi canggih berbanding keluaran terdahulu.
Grok 5 dilaporkan akan mempunyai 6 trilion parameter iaitu dua kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini, hanya 3 trilion parameter.
“Musk menyatakan model ini direka untuk mempunyai ketumpatan kecerdasan perGB, sekali gus menetapkan rekod baharu dalam industri AI.
“Model AI generasi kelima itu akan menjadi ‘pembantu kebenaran’ paling berkuasa di dunia apabila mempunyai keupayaan multimodel natif iaitu mampu menonton, memahami dan menganalisis video berdurasi panjang untuk menjawab soalan,” ujarnya.

Menurut pakar, Grok 5 mampu menyelesaikan masalah matematik dan algoritma pengaturcaraan yang sangat rumit dalam masa beberapa saat.
“Teknologi ini akan menjadi alat utama untuk pembangunan perisian apabila Grok 5 mempunyai akses terus kepada aliran data secara langsung daripada platform X.
“Ini membolehkan maklumat terkini tentang trend global, berita tergempar dan analisis sentimen masa nyata bagi membolehkan maklumat diperoleh segera,” ujar Pakar Kecerdasan Buatan dan Inovasi Digital, Prof. Dr. Jonathan Miles Carter.
Terus bergerak maju, jenama perkakas elektrik, LG Electronics pula akan memperkenalkan secara rasmi robot humanoid bernama CLOiD pada CES 2026.
Menjadi robot humanoid untuk rumah pertama syarikat itu, CLOiD mempunyai keupayaan fizikal, dua lengan artikulasi dan tujuh darjah kebebasan (DOF), sekali gus membolehkan ia bergerak seperti manusia.
Robot itu juga dilengkapi lima jari bermotor pada setiap tangan bagi membolehkannya melakukan tugas manusia seperti melipat pakaian, memegang barangan kaca, meletak pakaian dalam mesin basuh serta menyusun pinggan mangkuk.
Berdasarkan kenyataan rasmi, teknologi AI milik LG direka untuk memahami emosi, rutin dan keperluan pengguna secara proaktif, bukan sekadar mengikut arahan.
“Bahagian kepala CLOiD mengandungi cip utama yang berfungsi sebagai otak, skrin paparan untuk ekspresi, pembesar suara bagi komunikasi dan kamera serta penderia untuk navigasi pintar di dalam rumah.
“Selain membantu tugas fizikal, CLOiD bertindak sebagai hab pusat yang boleh mengawal dan menyelaras perkakas pintar lain di dalam rumah mengikut jadual penghuni,” katanya.
Walaupun spesifikasi fizikal seperti humanoid, namun pakar industri menjangkakan asas robot itu mungkin menggunakan roda seperti siri LG CLOi sedia ada.
Beralih kepada bidang automotif, teknologi kenderaan pintar dijangka akan dilengkapi dengan paparan realiti terimbuh (augmented reality atau AR).
Papan pemuka tradisional pula bakal digantikan atau ditambah baik dengan paparan AR pada cermin hadapan apabila navigasi masa nyata.
Anak panah penunjuk jalan akan dipaparkan secara maya di atas permukaan jalan raya yang dapat dilihat oleh pemandu, termasuk amaran objek berbahaya atau pejalan kaki.
Visual yang tersedia akan ditandakan dengan amaran terus dalam medan penglihatan pemandu untuk meningkatkan kawalan keselamatan, dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan.
Dalam pada itu, pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dijadualkan akan melancarkan misi menghantar empat angkasawan untuk mengelilingi bulan sebagai persiapan pendaratan manusia.
Misi NASA Artemis II itu dijadualkan akan berlaku pada Februari hingga April depan melibatkan tiga wakil Amerika Syarikat dan seorang dari Kanada.
Misi tersebut bakal berlangsung selama kira-kira 10 hari, di mana angkasawan dijangka tidak akan mendarat di permukaan bulan. Sebaliknya, mereka akan melakukan penerbangan melintasi bahagian belakang bulan (free-return trajectory) sebelum kembali ke bumi.
Usaha itu menandakan kembalinya manusia ke orbit Bulan selepas kali pertama melakukannya dalam misi Apollo 17 pada 1972 iaitu 54 tahun lalu.














