KOTA BHARU – Dua sekawan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat selepas didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita di Kok Lanas dekat sini pada Disember lalu.
Tertuduh, Mohammed Sanusi Dollah, 44, dan Azahar Hussin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan cuba mengambil harta milik wanita berusia 19 tahun iaitu seutas gelang emas dan beg duit sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Batu Tinggi, Kok Lanas kira-kira pukul 6.20 petang pada 22 Disember lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyimie tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan terbabit melibatkan jenayah dan mengganggu ketenteraman awam.
Mahkamah kemudian tidak menawarkan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh selain menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita dihimpit sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Penumpang depan kereta tersebut cuba menarik gelang tangan mangsa, namun wanita itu berjaya menepis tangan suspek sebelum terjatuh dari motosikal.
Suspek kemudian keluar dari kereta dan mengejar wanita itu sehingga ke hadapan sebuah kedai ayam gunting sebelum sekali lagi cuba menarik gelang emas di tangan mangsa.
Semasa suspek berlari untuk memasuki kereta, orang awam berjaya merampas kembali beg duit mangsa sebelum lelaki itu menaiki kereta berkenaan yang dipandu seorang lagi suspek. – KOSMO! ONLINE














