PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa terkilan apabila kenderaan miliknya didakwa calar selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta lain di hadapan sebuah pasar raya serbaneka di Kampung Bahagia dekat Teluk Intan, Perak semalam.
Lebih mengecewakan, pemandu kereta terbabit bertindak meninggalkan lokasi kejadian tanpa sebarang makluman.
Menerusi hantaran di Facebook oleh Norain Zuraini, kejadian itu berlaku ketika sebuah kereta, dipercayai jenis Proton Persona berwarna perak, keluar dari petak parkir sebelum bergesel dengan bahagian belakang kenderaannya.
“Alkisahnya masa akak ni keluar parkir, keretanya bergesel dengan belakang kereta saya. Panjang juga ‘kiss’ yang dibaginya. Masa tu ada anak-anak je dalam kereta,” tulisnya.
Menurut Norain, kejadian tersebut disedari selepas melihat kesan calar yang agak panjang pada bahagian belakang kenderaannya.
Katanya, pemandu wanita terbabit memarkir kenderaannya di sebelah sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu sebelum beredar begitu sahaja selepas berlaku perlanggaran tersebut.
“Kalau tak percaya, cuba akak tengok ‘skirt’ atau ‘bumper’ belah kiri. Confirm cat akak lekang. Saya tak tahu la kan sensor (kereta) akak hidup ke tidak sebab akak pergi macam tu je,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Norain menjelaskan bahawa niatnya membuat hantaran tersebut hanyalah untuk mengesan individu berkenaan dan mengajak berbincang secara baik tanpa sebarang niat untuk memanjangkan isu.
“Minta PM tepi (hubungi) jap ya. Dah tahu siapa nanti saya padam post (hantaran). Nak ajak sembang-sembang je,” ujarnya.
Hantaran itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya menasihatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab sekiranya terlibat dalam kemalangan kecil di tempat awam serta tidak meninggalkan lokasi kejadian tanpa menyelesaikan perkara tersebut terlebih dahulu.
“Suruh dia bayar ‘polish’,” cadang pengguna @CapyBara.
“Macam kes saya, dah sampai tercabut ‘bumper’ kereta kena langgar dekat parkir mall (pusat beli belah), mujur kereta depan tu ada dashcam, jelas nampak si pelaku, pergi balai trace (jejak) pemilik, selesai,” kata Anuar. – KOSMO! ONLINE














