fbpx
Surau di Taman Sentosa sesak dengan orang ramai menyembahyangkan jenazah Allahyarham Jamil di Kuala Kangsar pada 31 Disember lalu.

‘Susah nak dapat jiran macam Jamil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemergian Jamil Khair Ahmad Rashidi, 63, ternyata meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah semua jirannya mula menyebut kebaikan Allahyarham sepanjang menetap di Taman Seroja, Kuala Kangsar, Perak.

Allahyarham digambarkan sebagai seorang yang lembut tutur kata, mudah mesra dan rahin beribadah.

Kenalan, Afiq Muzakkir berkata, Allahyarham antara individu yang tidak pernah ‘culas’ untuk ke surau.

Katanya, sebelum kejadian Allahyarham sempat mengumandangkan azan subuh dan mendengar kuliah selain melambai pada ibu bapanya sebelum pulang.

“Tiba-tiba dengar dia sudah meninggal dunia tengah hari. Waktu solat sangat-sangat ramai sampai sesak surau taman, sama juga waktu kebumi, mudah lancar je semua urusan,” katanya yang turut menyifatkan arwah sebagai jiran yang disenangi.

Kisah Allahyarham Jamil tular apabila dia meninggal dunia dua jam selepas video dia memuji isterinya, Zaini Nuruddin, 63, pada 31 Disember lalu dirakam kamera litar tertutup rumahnya.

Detik menyentuh hati itu berlaku ketika Allahyarham baru pulang sekitar pukul 12 tengah hari dan menemani isterinya menyi­dai kain. Video itu kemudian mendapat perhatian netizen selepas dimuat naik oleh anak bongsunya, Muhammad Isyraf, 24.

Yusri Mohd. Hussin pula berkata, Allahyarham juga aktif dalam urusan kejiranan selain menyifatkan Jamil sebagai ‘penggerak masyarakat’ yang sering menyantuni jiran tetangga.

“Sahabat Taman Seroja yang sangat baik menyantuni kejiranan kami, baik dengan semua orang terutama anak-anak.

“Penyeri majlis-majlis yang diadakan juga bertindak menge­tuai organisasi masyarakat setempat. Kehilangannya amat dirasai,” katanya.

Ila Ceklawa pula memberitahu Allahyarham banyak berjasa kepada keluarganya.

“Abang Jamil sangat baik. Ba­nyak jasa abang Jamil pada kami sekeluarga,” ujarnya.

Bagi Latifah Ab. Latiff, hubungan Allahyarham dengan masyarakat bukan sekadar kenalan biasa.

“Arwah sangat baik dan seorang yang sangat prihatin. Semoga arwah dan anaknya ditempatkan di syurga di sisi orang-orang beriman,” katanya dalam komen di media sosial.

Dalam pada itu, tularnya kisah Allahyarham turut disusuli dengan ucapan takziah dan doa orang ramai yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN