JERANTUT – Selepas digemparkan dengan kejadian seekor lembu dibaham harimau, penduduk sekitar Kuala Tahan dikejutkan pula dengan kelibat seekor harimau yang berkeliaran di Jalan Ulu Tembeling di sini.
Harimau belang berkenaan ditemukan duduk berehat di Jalan Ulu Tembeling berhampiran Felcra Ulu Tembeling kira-kira pukul 7 petang semalam.
Seorang penduduk Kuala Tahan, Sabri Abdul Rahman, 54, berkata, kelibat harimau tersebut meresahkan penduduk kerana ia bukan kali pertama dilihat di kawasan berkenaan.
“Penduduk sudah biasa melihat kemunculan haiwan liar di kawasan ini, namun kehadiran harimau belang amat membimbangkan, memang ketika dilihat, haiwan itu kelihatan santai berada di kawasan tinggi di bahu jalan.
“Namun kami bimbang jika ia bertindak agresif, terutama pada waktu malam, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengelakkan pergerakan bersendirian,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, pihak Perhilitan diharap dapat mengambil tindakan segera bagi menangkap haiwan liar berkenaan dan memindahkannya ke kawasan lain demi keselamatan penduduk.
Katanya keadaan yang berlarutan itu bukan sahaja meresahkan penduduk untuk melakukan aktiviti harian, malah menjejaskan industri pelancongan di kawasan itu.
Sementara itu, penduduk Kampung Bantal, Farhan Nasaruddin, 31, berkata, laluan berdekatan Bukit Awan juga sering menjadi lokasi gajah liar yang melintasi jalan di situ untuk mencari makanan.
“Munculnya harimau belang di kawasan berdekatan menjadi kebimbangan kepada penduduk terutama waktu malam.
“Memang ada penduduk sudah melihat kelibat pak belang itu, tapi ketika haiwan itu tidak agresif,” ujarnya.















