VALENCIA – Pengarah Teknikal Aprilia Racing, Fabiano Sterlacchini menegaskan bahawa fokus mereka bukan sekadar menyaingi dominasi Ducati, sebaliknya berwaspada dengan kebangkitan pasukan lain menjelang saingan MotoGP 2026.
Sterlacchini mengakui Aprilia tidak boleh memandang rendah potensi Honda dan KTM yang mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan pada sesi ujian di Litar Ricardo Tormo, baru-baru ini.
“Melihat kepada prestasi Honda dan KTM, terutamanya Pedro Acosta bersama KTM, serta Joan Mir dan Luca Marini, mereka menunjukkan peningkatan yang ketara.
“Jadi, kami perlu mengambil kira ancaman daripada seluruh pasukan di grid perlumbaan, bukan hanya menumpukan perhatian kepada Ducati semata-mata,” katanya.
Aprilia sebelum ini mencuri tumpuan menerusi jentera RS-GP26 di Ricardo Tormo terutama pakej aerodinamik agresif mereka yang dijangka memberi tentang mencabar kejuaraan.
“Kami meningkatkan rintangan aerodinamik (drag) untuk membantu cengkaman ketika membrek. Kami cuba memaksimumkan kelebihan dalam setiap fasa tunggangan,” katanya.
Jentera baharu RS-GP26 itu menampilkan inovasi ketara termasuk rekaan semula sayap depan, side pods baharu serta saluran udara yang lebih besar, bertujuan mencari keseimbangan optimum antara kelajuan di laluan lurus dan cengkaman ketika membrek.
Selain perubahan aerodinamik, pelumba baharu Aprilia, Jorge Martin turut diberi tugasan menguji kerangka (frame) berbeza yang disifatkan sebagai perubahan radikal berbanding spesifikasi perlumbaan biasa. – AGENSI














