ALOR SETAR – Ramai isteri termasuk golongan warga emas mengadu suami terlalu leka dengan media sosial terutama TikTok dan Facebook sehingga menyebabkan mereka berasa sunyi akibat kurang berkomunikasi.
Peguam syarie, Amalina Adam berkata, keadaan itu juga menyebabkan isteri rasa terpinggir, tambahan pula apabila anak-anak sudah tinggal berasingan.
“Ada yang mengadu suami asyik dengan TikTok. Balik kerja atau selepas solat di surau atau masjid, terus layan TikTok dan Facebook berjam-jam lamanya.
“Apabila pasangan terlalu fokus dan ketagih media sosial, komunikasi antara mereka berkurangan, seterusnya menyebabkan jiwa pasangan yang kosong,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, kenalan rakan maya di media sosial juga dikhuatiri boleh menyebabkan campur tangan pihak luar dalam perhubungan, terutama ketika pasangan tidak lagi berkomunikasi secara terbuka.
“Begitu juga akan wujud pihak ketiga dan di situlah terjalinnya hubungan sulit. Berdasarkan pengalaman saya sebagai peguam syarie, isu hubungan sulit atau pihak ketiga ini sangat mencemaskan dalam masyarakat kita.
“Tanpa disedari, perceraian boleh bermula daripada penggunaan teknologi secara berlebihan dalam rutin harian kehidupan kita,” ujarnya.
Amalina berkata, pihaknya juga berdepan dengan kes perceraian berpunca daripada alasan remeh, antaranya tidak tahan bau badan pasangan apabila usia semakin meningkat.
“Selain itu, terdapat perceraian melibatkan warga emas dengan alasan berebut siaran radio atau televisyen kerana suami mahu mendengar ceramah agama, manakala isteri pula ingin menonton gosip semasa,” katanya.
Menurutnya, antara punca lain ialah suami yang tidak solat sejak awal perkahwinan dan mempersendakan agama apabila isteri mengingatkannya untuk menunaikan solat.
“Ada juga kes isteri diceraikan disebabkan tabiat suka mencakar badan dan tangan suami sehingga luka sejak bernikah. Bukan tidur mengigau atau tidak sengaja, tetapi memang menjadi rutin harian isteri.
“Si suami bertahan hampir 20 tahun dengan cakaran isteri setiap hari atas alasan anak-anak masih kecil dan dia bersabar dengan sikap isteri itu.
“Namun, apabila anak-anak meningkat dewasa, suami membuat keputusan memfailkan tuntutan perceraian kerana tidak sanggup lagi bertahan dengan perkahwinan ‘berdarah’ selama hampir 20 tahun,” katanya.
Beliau juga pernah mengendalikan kes penceraian disebabkan suami berkelakuan aneh apabila kerap membuang air besar di sebalik pintu di ruang tamu rumah dan si isteri terpaksa membersihkannya.
“Perkara ini terjadi dalam tempoh 25 tahun perkahwinan yang mana isteri bersabar kerana mereka mempunyai sembilan anak yang masih kecil.
“Ketika perceraian berlaku, anak-anak sudah besar dan perceraian selesai dengan bertebus talak sebanyak RM5,000,” katanya.
Menurutnya, kes paling berusia yang pernah dikendalikannya melibatkan seorang suami berusia 92 tahun dan isterinya pula berusia 75 tahun.
“Alasan perceraian disebabkan isteri mempunyai masalah pendengaran. Pada hari kejadian, suami minta isteri menanak nasi dua sukatan untuk makan tengah hari, namun isteri tersalah dengar dan menyangka suami meminta goreng telur.
“Suami berang lalu menceraikan isteri di rumah tanpa kebenaran mahkamah. Suami juga sudah hilang sabar kerana isteri sering tidak dengar arahan atau permintaan, selain sukar berkomunikasi akibat masalah pendengaran,” katanya.














