PETALING JAYA – Minat mendalam terhadap al-Quran yang dipupuk sejak usia empat tahun menjadi motivasi bagi empat beradik dari Kuantan, Pahang yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh kurang setahun.
Bapa kepada empat beradik berkenaan, Wan Azuadi Wan Yusoff, 48, berkata, kecintaan anak-anak terhadap al-Quran tidak pernah dipaksa, sebaliknya dibina secara berperingkat dan konsisten sejak usia kecil.
“Bermula umur empat hingga enam tahun, kami pastikan mereka menguasai bacaan Iqra’ 1 hingga 6. Apabila masuk tahun satu, kesemuanya sudah boleh membaca al-Quran,” katanya.
Menurutnya, anaknya, Wan Nur Zulfah Alwadhiyah, 13, mula menghafaz secara serius sekitar usia 10 hingga 12 tahun sebelum adik-beradik lain mengikut jejak langkahnya.
Ujarnya, anaknya itu berjaya khatam hafazan 30 juzuk pada usia 11 tahun dalam tempoh empat bulan dua hari pada Ogos 2024.
Kejayaan itu katanya, diteruskan kakaknya, Wan Nur Zunayrah Alwaqiyah, 17, yang menamatkan hafazan pada usia 15 tahun dalam tempoh lapan bulan tujuh hari, diikuti
Wan Nur Baqis Alwasimah, 17, yang khatam pada Disember 2024 dalam tempoh 10 bulan empat hari.
Terbaharu ujarnya, seorang lagi anaknya, Wan Muhammad Alwa’ez, 14, menamatkan hafazan pada November 2025 dalam tempoh 10 bulan 15 hari.
Kesemua mereka kini menyambung pengajian Syahadah di Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) Halaqah Asrama Terengganu.
Wan Azuadi mengakui jarak antara Kuantan dan Terengganu serta tekanan sasaran hafazan yang ditetapkan guru halaqah kadangkala menguji emosi anak-anak.
“Ada masa mereka lemah semangat apabila tidak capai sasaran. Biasanya mereka akan hubungi kami dan bercerita. Ketika itu kami beri sokongan dan motivasi supaya terus istiqamah,” katanya.
Beliau berkata, sokongan ibu bapa dilakukan melalui doa yang berterusan, ziarah setiap satu atau dua minggu serta komunikasi rapat dengan mudir dan pihak pengurusan Akmal bagi memantau perkembangan anak-anak.
Pada masa sama, beliau dan isteri yang juga guru Pendidikan Islam berharap keempat-empat anak mereka dapat menamatkan Syahadah Sugra dan Syahadah Kubra sebelum kembali ke sekolah arus perdana.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa lain supaya tidak ragu menghantar anak ke pusat hafazan yang mempunyai sistem tersusun seperti di Akmal.
“Saya membuat kajian sebelum menghantar anak ke Akmal,” katanya.














