KUALA LUMPUR – Polis mengeluarkan sebanyak 12,437 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2026 yang dijalankan di seluruh negara bermula malam tadi.
Operasi selama lima jam bermula pada pukul 9 malam itu dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sempena sambutan Ambang Tahun Baharu.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu bertujuan untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran aliran trafik di kawasan tumpuan ramai.
Katanya, seramai 327 pegawai dan 2,460 anggota digerakkan dengan kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen, pihak konsesi lebuh raya serta pihak berkuasa tempatan.
“Operasi melibatkan 240 lokasi penugasan termasuk sekatan jalan raya, rondaan pencegahan dan penugasan statik di pusat bandar, kawasan rekreasi dan laluan utama. Sebanyak 390 kenderaan disita, manakala 25 individu ditahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Seramai 20 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiga ditahan mengikut Kanun Keseksaan dan tiga lagi di bawah lain-lain akta,” katanya dalam kenyataan hari ini..
Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dengan tidak memandu secara berbahaya dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














