fbpx
Mustapha

13 perkara MA63 berjaya selesaikan, hak Sabah dan Sarawak terus dibela – Mustapha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited memastikan hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak terus dipelihara.

Memaklumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan MA63 dizahirkan secara berterusan sejak penubuhan Jawatankuasa Devolution of Authority (JKDA) pada 2016 yang dipengerusikan bersama oleh Tan Sri Anifah Aman dan Datuk Seri Nancy Shukri.

“Usaha ini diteruskan pada 2018 melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63), dengan sokongan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan mendiang Datuk VK Liew, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) bersama Peguam Negara.

“Pada 2020, ketika Datuk Seri Panglima Maximus @ Johnity Ongkili menerajui portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Kerajaan Persekutuan menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dengan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) sebagai sekretariat.

“Portfolio ini turut pernah disandang oleh Datuk Armizan Ali sejak Disember 2022 hingga Disember 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustpaha berkata, di bawah Kerajaan Madani, platform rundingan MA63 diperkukuh menerusi penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, manakala Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Sehingga kini, sebanyak 29 perkara MA63 dibincangkan melalui MTPMA63, dengan 13 perkara berjaya diselesaikan (sembilan di bawah Kerajaan Madani, empat di bawah Kerajaan terdahulu).

“Ini adalah pencapaian terbaik Kerajaan Madani berbanding Perdana Menteri dan kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya.

Tambahnya, 16 perkara lagi sedang di peringkat rundingan secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak melalui MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal dengan dipantau rapi BHESS.

Malah katanya, sebagai usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan pelaksanaan MA63, Fadillah bersetuju supaya BHESS, JPM membangunkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63.

“Ia dijangka boleh diakses melalui Portal Rasmi BHESS, JPM pada penghujung Januari ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN