BAKAL beraksi pada konsert berskala mega di Stadium Nasional Bukit Jalil, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menjanjikan sebuah persembahan bertaraf antarabangsa.
Menurut Siti, konsert diberi judul Legacy 30 Siti Nurhaliza itu merupakan konsert termahal yang pernah dianjurkannya. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kos keseluruhan kerana konsert belum berlangsung lagi.
“Apa yang boleh saya katakan kalau menganjurkan konsert berskala besar, maka modalnya juga harus besar tambahan pula diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Banyak aspek yang perlu dititikberatkan dari segi bunyi, pencahayaan dan sebagainya. Kapasiti penonton juga lebih besar. Kalau di Axiata Arena boleh memuatkan 15,000 penonton, di SNBJ berlipat ganda.
Terbesar
“Selain modal yang besar, konsert ini juga bakal menggunakan tenaga kerja seramai 2,000 petugas, termasuklah kru yang dibawa dari luar negara,” katanya.
Tambah Siti, konsert itu nanti bakal menyaksikan kejutan-kejutan yang sudah lama dia impikan tetapi belum tertunai.
“Banyak perkara yang saya ingin lakukan dalam sebuah konsert tetapi tidak dapat dilaksanakan dalam konsert-konsert saya sebelum ini. Jadi, saya gunakan kesempatan konsert kali ini untuk merealisasikan impian saya.
“Sebab itu saya mengharapkan peminat-peminat saya yang sudah mengikuti perjalanan karier seni saya selama 30 tahun ini akan datang menyaksikan konsert ini,” jelasnya.
Sejak Siti mengumumkan bakal mengadakan konsert mega di SNBJ, ramai peminat mengharapkan konsert ini bakal mencipta rekod baharu sebagai persembahan paling ramai penonton sekali gus memecah rekod yang dipegang oleh kumpulan Coldplay iaitu seramai 81,000.

Sebelum takhta itu menjadi milik Coldplay, Siti terlebih dahulu memegang rekod hampir 20 tahun menerusi konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour.
Ditebak pertanyaan sama ada merancang untuk menambah jualan tiket untuk mencipta rekod baharu, kata Siti, perkara tersebut tidak akan berlaku.
“Ramai yang cakap pada saya, saya kena lawan balik rekod yang dicipta oleh kumpulan Coldplay.
“Sebenarnya tak terdetik langsung untuk mencipta rekod baharu. Tujuan saya buat konsert bukanlah untuk berlawan dengan artis lain. Cuma saya ingin membuktikan bahawa artis tempatan juga mampu menganjurkan konsert berskala besar seperti artis-artis antarabangsa.
“Kedudukan pentas kali ini juga membataskan kami untuk menjual tiket lebih banyak. Kalau dulu pentas di bahagian hujung, tetapi kali ini di bahagian tengah dan melintang. Jadi banyak ruang yang kita guna untuk pentas.
“Kalau saya buka lagi jualan tiket ibarat saya mencari masalah. Takut ada penonton yang tak nampak nanti, saya juga yang kena kecam netizen. Saya mahu semua penonton gembira dan dapat menonton persembahan saya dengan selesa,” ujarnya.

Jemputan
Tidak akan beraksi keseorangan, Siti menjemput bukan satu tetapi empat penyanyi undangan yang akan berduet bersamanya nanti. Mereka ialah Hafiz Suip, Noh Salleh, Umairah dan penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan.
“Kalau ikutkan hati nak jemput ramai lagi. Semua yang pernah berduet dengan saya. Tetapi saya memilih empat penyanyi ini untuk konsert kali ini.
“Saya memilih Noh kerana dia memiliki energi yang luar biasa. Peminatnya juga selalu menyokong saya. Tetapi kali ini, Noh kena ikut muzik saya. Kiranya satu kejutan juga,” kongsinya.
Ditanya tentang persiapan menjelang konsert, pelantun lagu Cindai itu sedang giat berlatih sejak lebih sebulan lalu bersama penari dan pemuzik yang dipimpin pengarah muzik, Aubrey Suwito.
“Sekarang ini apa yang paling penting adalah untuk menjaga kesihatan. Sebagai penyanyi, vokal adalah segala-galanya. Doakan saya sihat. Insya-Allah,” noktahnya.














