PETALING JAYA – Hasrat seorang pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik bertukar menjadi kekecewaan apabila gaji yang ditawarkan tidak seperti diiklankan, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi satu perkongsian di Threads, pengguna Bungadahlia memaklumkan dia menghadiri sesi temu duga bagi jawatan pentadbiran (admin) di sebuah syarikat yang mengiklankan tawaran gaji antara RM2,300 hingga RM2,500.
Menurutnya, sepanjang sesi temu duga, segalanya berjalan lancar dan profesional, namun dia mula berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa gaji sebenar yang akan diterima hanyalah RM1,700 sebagai permulaan.
“Rupanya gaji RM2,300 hanya akan dapat selepas tujuh bulan bekerja di sana. Saya kecewa sebab kenapa syarikat tak tulis saja gaji bermula RM1,700 dalam iklan,” katanya.
Wanita tersebut turut menjelaskan dia memiliki pengalaman kerja selama setahun setengah serta mempunyai kelulusan ijazah, selain hadir ke temu duga dengan persediaan rapi dan harapan tinggi.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap amalan sesetengah majikan yang didakwa tidak telus dalam mengiklankan tawaran gaji.
Sebahagian pengguna berpendapat, tindakan sedemikian bukan sahaja membuang masa pencari kerja, malah memberi gambaran kurang baik terhadap imej syarikat.
“Kalau gaji asas RM1,700, sepatutnya nyatakan awal-awal. Senang calon buat keputusan,” komen Hirwani.
“Modus operandi majikan nk segera dapat pekerja, masa interview (temuduga) kata gaji lain, bila dah terima, bagi surat lantikan tiba-tiba lain jumlahnya, siap bermacam syarat pula kalau nak dapatkan gaji dijanjikan. Cerita dari pengalaman,” kata Mursyid. – KOSMO! ONLINE














